Khamis, 21 Februari 2013

POPIA BASAH ALA BONDA

     Untuk membuat kulit popia ada dua kaedah yang boleh digunakan. Kedua-dua kaedah akan memberikan hasil yang berbeza. 

Kulit Popia Basah (1) Ala Bonda
Tepung gandum                     1 kilogram
Telur ayam saiz sederhana   5 biji (putih)
Cuka                                        3 camca besar 
Air                                            1 cawan
Garam  secubit atau secukup rasa

Cara-cara :
1. Asingkan putih telur dan kuningnya.
2. Campurkan garam ke dalam tepung 
     masukkan putih telur dalam adunan
     tepung dan gaul sebati.

3. Masukkan cuka ke dalam adunan dan satu cawan air dan 
    pukul bater untuk beberapa minit sehingga kelihatan bater
    sempurna tergaul.
4. Biarkan untuk sekurang-kurang 1 jam tertutup dan
    dalam suhu bilik.
5. Selepas satu jam, pukul sekali lagi dan pastikan bater 
    tersebut likat dan sedikit kenyal.
6. Panaskan kuali atau pan penggoreng, dengan mengguna 
     kain tuala bersih celupkan sedikit minyak dan sapukan
     merata di kuali pembakar tersebut.
7. Ambil sejemput bater dan buat pusingan bulat di atas 
    kecuali dan ratakan permukaan.
8. Selepas beberapa ketika akan terdapat hujung tepung
    yang dibakar itu meleding. Tarik hujung yang terbuka, 
    untuk mengangkat kepingan kulit popia dari
     permukaan kuali. 
9. Simpan dalam plastik dan simpan pada suhu bilik 
     sebelum menambah bahan-bahan sos, dan intinya.



Kulit Popia Basah (2) Penyesuaian 
Tepung gandum                     1 kilogram
Telur ayam saiz sederhana   5 biji (putih sahaja)
Cuka                                        3 camca besar 
Air                                             1 1/2 cawan
Garam  secubit atau secukup rasa


Cara-cara :
1. Asingkan putih telur dan kuningnya.
2. Campurkan garam ke dalam tepung 
     masukkan putih telur dalam adunan
     tepung dan gaul sebati.

3. Masukkan cuka ke dalam adunan dan satu setengah cawan 
    air dan pukul bater untuk beberapa minit  sehingga kelihatan 
    bater sempurna tergaul.
4. Biarkan untuk sekurang-kurang setengah  jam tertutup dan dalam suhu bilik.
5. Panaskan kuali dan letakkan minyak sedikit yang disapu mengguna tuala bersih. Curahkan
    bater cair dan bentuk bulat menggunakan senduk. Biarkan bahagian tepi meleding dan 
    angkat kepingan kulit popia tersebut.

Sos 

Bahan-Bahan :
200 gm               Cili Kering
3 labu                  Bawang Putih
400gm                Gula Putih
200gm                Gula tapak
3 liter                   air
250gm                Cuka Buatan ( jika guna limau nipis -7 biji)
5 camca besar  Tepung jagung
Sedikit Garam secukup rasa.


Cara-cara:
1. Tepung jagung dibancuh dengan 4 camca besar air dan dibiarkan seketika.
2.  Kisar semua bahan yang lain dan didihkan di atas api sederhana. Biarkan mendidih.
3.  Renehkan sehingga lebih kurang 20 minit atau cili kelihatan masak.
4.  Rasa dan sesuaikan dengan citarasa anda.
5.  Setelah serasa dengan citarasa anda, masukkan bancuhan tepung jagung dan kacau 
     cepat. Kacau beberapa minit sehingga sos tadi menjadi likat. Padamkan api dan sejukkan.  
     Sos cili ini jika hendak digunakan untuk sos tauhu sumbat atau cucur udang, anda tidak perlu menambah ke dalamnya bancuhan tepung jagung. Selain itu juga, anda boleh menambah gula ikut kesesuaian selera. Untuk menyedapkan rasa tauhu, rendam tauhu (tawar) dalam air garam selama setengah jam sebelum digoreng. Hal ini akan menyebabkan tauhu terasa sedikit masin dan menyesuaikan rasa sos.



Inti Popia Basah

Sebiji            Timun
Tiga biji         bawang merah
Tiga ulas        bawang Putih
Sebiji             sengkuang
Dua biji          Lobak Merah
Dua Camb       minyak masak
Telur kuning   (yang diasingkan dari telur putih 
                      untuk kulit popia)
Garam secukup rasa
Daging ayam kisar atau udang atau udang kering  yang dihiris halus jika suka untuk menambah rasa

Cara-caranya:
1.  Kerat dalam ukuran satu inci  dan potong 
     memanjang timun, sengkuang yang dibuang
     kulit, dan Lobak merah setelah bahan dibasuh. 
2.  Tumbuk atau kisar bawang putih dan bawang merah.
3.  Panaskan kuali dan minyak masak. Tumiskan bawang yang dikisar dan 
     rencah (udang/udang kering/ayam atau daging kisar). Biarkan sehingga 
     sederhana masak.
4.  Masukkan timun, sengkuang, lobak merah. Gaulkan sebati kemudian 
     masukkan telur kuning. Renehkan seketika sehingga telur kuning masak
     dan air sejat.
5.  Angkat bahan yang ditumis tadi dan toskan air. Jangan buang air yang 
     kerana boleh digunakan untuk memasak tauhu lembut, cuma perlu 
     tambah  daun sup untuk aroma dan rasa.

Inti popia juga boleh tidak dimasak tetapi ditaburkan serbuk ikan bilis atau udang kering dan sedikit garam. Gaulkan sebati dan inti tersedia untuk dibalut. 
    Anda juga boleh menambah taugeh yang telah dicelur jika suka.


Penyediaan Popia Basah.

Bahan-Bahan:
Sos cili yang telah dipekatkan
Inti Popia yang telah dimasak
Kulit popia yang telah disediakan
Kacang tanah yang telah digoreng dan dikisar (Untuk kurangkan minyak 
                                                                  goreng tanpa minyak)
Bawang goreng jika suka

Cara-cara:
  1. Bentangkan kulit popia 
  2. Sapukan sos ke permukaan kulit secara menyeluruh
  3. Letakkan inti di hujung kulit popia
  4. Taburkan kacang tumbuk atau daun bawang
  5. lipat kedua-dua tepi kulit popia
  6. Gulung inti dalam kulit popia dengan kemas.


Jika hendak membuat popia goreng, guna inti mentah gulung dalam kulit popia (atau yang sedia ada di pasaran), kemudian goreng. Jika anda menggunakan inti popia yang telah dimasak, hasilnya tidak memuaskan dan kulit popia lambat garing.
 
Selamat mencuba.



Selasa, 8 Januari 2013

KARIPAP SARDIN

 Sebelum meneruskan mencatat resepi seterusnya, ingin saya memaklumkan bahawa gambar-gambar dalam halaman ini diambil daripada beberapa blog lain menggunakan pencariaan gambar atau imej enjin pencari Google. Hanya gambar bersesuaian sahaja dimuatkan untuk memberikan gambaran kepada jenis masakan yang disediakan.

KARIPAP SARDIN ALA D'JAPIAH

Inti karipap
1 tin sardin besar
1 paket biskut lemak
5 labu bawang besar
5 biji cili merah (Hijau boleh juga)
3 camca besar minyak masak
garam secukup rasa

Cara-cara :
1. Bawang besar dipotong dadu dan cili merah di 
    belah dua dan dihiris. 
2. Hancurkan isi sardin dan asingkan sos
3. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan 
    bawang dan cili merah biar agak layu.
4. Masukkan sos sardin dan biarkan seketika, kemudian masukkan isi sardin.
5. Perlahankan api dan renehkan agar sos sejat.
6. Masukkan garam secukup rasa (1 camca kecil)
7. Hancurkan biskut lemak atau biskut jagung dan masukkan ke dalam inti 
    tunggu hingga kering. Sekiranya tidak kering, masukkan sedikit serbuk 
    gandum. (Sama ada anda masukkan biskut lemak atau biskut jagung, 
    kedua-duanya akan menghasilkan sedikit rasa berbeza)



Kulit Karipap

Doh 1
Bahan-Bahan:
Tepung Gandum  1 kilo
minyak masak     2 cawan
Air Sejuk (Ais)     1 cawan
Garam secukup rasa



Cara-cara:
1. Panaskan minyak masak
2. Gaulkan tepung dan garam dalam 
    mangkuk adunan
3. Bentukkan tepung seperti kolam, 
    tuang minyak panas. Kemudian 
    gaulkan sebati dan merata. 
    Biarkan seketika.
4. Masukkan air sejuk ke dalam adunan. 
    Uli sehingga doh sebati.
5. Bentukkan bulat-bulat kecil dan kemudian gelek untuk menjadi kepingan 
    sederhana nipis, masukkan inti karipap, kepit dan kelepet.




Minyak panas dan air sejuk yang dicampurkan dalam adunan itu mempunyai sifat berbeza dan akan menjadi kulit karipap lebih lembut dan garing serta tahan lama. Minyak panas tersebut akan menyebabkan tepung sedia masak. Jadi anda hanya perlu menggoreng karipap itu sebentar sahaja.  Doh 1 ini saya gunakan untuk karipap sardin ini. Namun masa saya buat di Asrama Kg.Kenanga; saya memilih bentuk bulat untuk karipap sardin ini, iaitu dengan membuat 2 keping kecil tepung. Kemudian letakkan inti ke atas satu keping doh. Kepingan satu lagi ditangkupkan ke atas inti. Kepit dan kelepet keliling karipap tersebut. Ikut citarasa kalian untuk menyesuaikan termasuk jumlah cili yang digunakan. Karipap sardin boleh juga dimakan bersama sos cili sedia ada di pasaran atau sos cili yang disediakan sendiri.

Sos Cili Ringkas
Sos Cili  Bawang putih  3 camca besar
Gula                           1 camca besar
Cuka buaran                1 camca sedang
Garam   dan sedikit air       

Cara-cara:
1. Masukkan semua bahan dalam
    periuk dan didihkan  selama lima minit.
    (Gandakan sukatan jika hendak lebih
     banyak sos)

SELAMAT MENCUBA!!!!
 

Ahad, 2 Ogos 2009

SARDINE ROLL SERI KENANGA


Sebelum kita meneruskan resepi selanjutnya, kita ambil 'feel' dulu. Kita lihat dulu gambar-gambar yang ada; yang diambil daripada beberapa blog.. semua macam sama sahaja kan.. Mungkin sebab tangan orang yang satu ini yang buat, mungkin ada kelainan.. Bak kata, seorang 'teman'.. sudah lama tidak merasa sardin Roll yang saya buat.. tetapi dia jauh, maka saya muatkan dalam laman ini. Moga-moga jika terbaca, bolehlah buat.. mesti ada aura saya juga.
Sardin Roll Seri Kenanga tajuk catatan saya hari ini. Bukan apa, nama itu sempena saya selalu membuatnya di Asrama Kampung Kenanga, ketika itu terletak dalam pagar Sekolah Rendah Agama Ibnu Khaldun. Ketika itu tidak henti-henti saya buat, sedaplah kot... berniagalah konon, tapi rasanya sebab budak-budak asrama itu lapar mungkin, walhal bukanlah sesedap mana pun. Buat anak-anak bekas penghuni asrama Kampung Kenanga, bolehlah buat sardin roll sendiri untuk santapan anak-anak, suami dan keluarga...
Bahan-bahan:
Inti
3 @ 5 cili kering - dikisar (ditumbuk halus) atau 2 sudu kecil cili boh
3 biji bawang putih - dikisar bersama cili
5 biji bawang besar - dipotong kiub
1 tin sardin - dilenyek atau dihancurkan (mackerel - kurang rasa sedap)
3 sudu besar kicap ( Tamin, bilal lebih sedap)
##sedikit gula - jika menggunakan kicap masin (jika tiada pun tidak mengapa, bawang besar akan menghasilkan rasa manis)
Kulit (roll)
Sebuku roti (mungkin lebih)
5 biji telur
sedikit garam
minyak atau majerin
Cara-cara:
  • Tumiskan bahan yang dikisar dengan bawang sehingga cili agak masak.
  • Masukkan sardin yang sudah dilenyek.
  • Masukkan kicap dan sedikit gula jika suka. Kacau atas api sehingga sebati.
  • Biarkan beberapa minit atas api. Sejukkan.
  • Kepingan roti tersebut dilenyek terlebih dahulu supaya kurang menyerap telur dan minyak.
  • Ratakan sardin tadi ke permukaan roti, dan gulungkan.
  • Pukul telur dan masukkan sedikit garam (sebab inti tersebut agak manis)
  • Panaskan kuali dan masukkan minyak dalam kadar yang sedikit.
  • Golekkan roti berinti sardin dalam telur dan gorengkan.
  • Golek roti tersebut dalam kuali supaya semua bahagian masak. Goreng sehingga kekuningan.
  • Angkat dan hidangkan.
** Resepi di atas adalah resepi sardin roll yang dibuat di Asrama Kampung Kenanga. Sardin roll ini agak terasa manis dan sesuai untuk budak-budak dan sesiapa yang kurang suka makanan pedas.
Namun anda juga boleh menggunakan resepi di bawah ini daripada seorang sahabat saya yang juga amat perihatin soal masakan ini. Cara membuat inti sahaja sedikit berbeza kerana intinya seperti sambal tumis sardin dan berwarna merah.. berbanding Sardin roll Seri Kenanga yang berwarna kehitaman (warna kicap)
Inti:
13 batang cili kering (biasakan menggunakan bahan kiraan ganjil untuk kurangkan rasa pedas)
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
3 biji bawang besar ( dipotong kiub)
1 tin sardin atau mackerell (dilenyekkan)
garam secukup rasa
  • Cara memasak inti :
    Kisar bawang merah, bawang putih dan cili kering.
  • Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan itu sehingga masak
  • Masukkan bawang besar yang telah dipotong kiub, tumiskan sebentar
  • Masukkan sardin yang sudah dilenyek dan tambah garam secukup rasa.
  • Tambah sedikit gula jika mahu.
SELAMAT MENCUBA... SEMOGA HASILNYA SESEDAP SARDIN ROLL YANG KALIAN RASA SEMASA SAYA TINGGAL DI ASRAMA KAMPUNG KENANGA, DAHULU... Jika rindu rasanya...cubalah. Jika rindu saya, hubungilah.. 012-9423764, 019-2050299.. @ sms lah dulu,ya... beritahu siapa gerangan diri, agar saya tidak terkejut..
Wassalam...

Jumaat, 26 Jun 2009

KUAH PENCECAH (ASAM) - ANEKA CITRA


Assalamualaikum....
Kadangkala kita terfikir berkehendakkan kelainan untuk hidangan keluarga; yang bersesuaian dengan selera, seimbang dan baik untuk kesihatan....

Catatan ini adalah untuk membuat kuah pencecah yang pelbagai untuk hidangan seperti ikan atau ayam bakar atau panggang.. Sesuai juga untuk makan bersama mangga muda , betik muda dan seumpamanya...


KUAH KICAP ASAM ALAMUDAH

Bahan-Bahan :
Cili merah - 3 biji
Cili padi - 10 biji
Bawang besar - 1 biji
sedikit belacan (tiada pun ok)
Sedikit cuka ( seeloknya guna air asam jawa)
Kicap secukupnya... ( Kicap bilal - ok)
sedikit gula

Cara-cara :
Hiris bulat-bulat cili merah dan cili padi..(Jika ada cili besar hijau boleh ditambah)
  • Belah 4 bawang besar yang sudah dikupas kulit, dan hiris nipis.
  • jika guna air assam bancuh sedikit menggunakan air suam dan campur sedikit gula.
  • Jika menggunakan cuka..tidak perlu ditambah air dan terus hancurkan gula dalam cuka
  • masukkan semua bahan dalam mangkuk dan tuangkan kicap secukupnya.
  • hias dan hidangkan (Sedia untuk dimakan dengan nasi atau makan dengan ikan pari atau terubuk bakar. Tidak sesuai untuk makan dengan ayam)
  • Selamat Mencuba, ya.....
KUAH ASSAM PANCARASA

Bahan-bahan :
3 biji - cili merah
3 biji - cili hijau
10-15 biji - cili padi (ikut kesesuaian dan citarasa)
1 biji - bawang besar
2 biji - tomato sederhana
1 mangkuk - air asam (dibancuh cair dan menggunakan air masak)
sedikit belacan (jika suka)
sedikit garam secukup rasa
sedikit gula secukup rasa

Cara-cara :

  • hiris semua cili (bulat) dan gaulkan dengan garam dan gula
  • Potong bawang besar kepada 4 bahagian dan hiris nipis.. boleh juga dipotong dadu
  • Potong tomato dalam bentuk dadu
  • Belacan dicampur ke dalam air asam dan gaulkan sebati ( seeloknya belacan dibakar kemudian hancurkan dan masukkan ke dalam air asam.
  • Gaulkan sebati semua bahan dalam mangkuk dan gaulkan...
  • Hidangkan.... sesuai untuk kebanyakan makanan bakar, panggang dan grill.
  • SELAMAT MENCUBA PANCARASA



KUAH ASAM SUASARASA UMIE

Bahan-bahan :
5 biji - Cili merah
5 biji - Cili hijau
15 biji - Cili padi
2 biji - tomato
2 biji - bawang besar
3 biji - bawang merah
1/2 inci - halia
10gm - belacan
1 mangkuk - kuah asam jawa - pekat
5 camca besar - kicap
5 camca kecil - gula

Cara-cara :

  • Goreng tanpa minyak bawang belacan, bawang merah, halia sehingga belacan beraroma harum.
  • Kisar bahan di atas bersama 2 biji cili merah dan 2 biji cili hijau ... gunakan air asam, masukkan juga gula...
  • Hiris cili besar yang selebihnya bulat dan sederhana nipis...
  • Potong dadu buah tomato dan 1 bawang besar
  • Potong 4 bawang besar dan hiris sederhana nipis.
  • Masukkan semua bahan di atas dalam satu mangkuk yang bersesuaian, masukkan air asam dan kicap... jika hendak masin tambah sikit garam ( contoh : menggunakan kicap bilal @ kicap kipas udang /Jalen - lemak manis (hijau)tidak perlu tambah gula lagi... tetapi jika menggunakan kicap Tamin, tidak perlu tambah garam)
  • gaulkan sebati dan hidangkan
  • Kuah cecah assam ini sesuai untuk hidangan sekurang-kurang empat orang.

KUAH CECAH MUDAH ALA PANTAI TIMUR

5 biji cili padi
2 camca besar gula

Sedikit belacan
sedikit garam
sedikit cuka

Cara -cara:

  • Masukkan gula, belacan dan garam dalam bekas bersesuaian.
  • Lenyekkan cili dalam campuran tadi dan tuang sedikit cuka.
  • (Jika anda makan mangga/ nenas muda atau kedondong... rasa akan lebih sedap jika dilenyekkan menggunakan makanan itu sendiri )

#######*#*#*#****************
Resepi di atas adalah kegemaran anak-anak buah yang ada... setiap kali buat ikan/ayam/kerang bakar atau makan mangga/betik/kedondong muda : Ada sahaja yang cakap : "Umi, buatkan kuah asam ....., Umi, buatkan lada kicap....Umi, masakkan kuah cecah..." dan macam-macam karenah yang ada... Dan umi mereka akan buatkan...Kalau tiada masa cukuplah satu jenis, tetapi jika ada masa, ada bermacam-macam jenis....
Namanya sahaja yang gah....tapi sebenarnya biasa-biasa sahaja.


Cubalah jika ada masa buatlah yang payah sikit... jika tiada masa buatlah kicap yang mudah-mudah...

Anak-anak umi....lepas ni bolehlah buat sendiri ya! Dah ada resepi ni...tak perlulah tunggu umi balik atau datang rumah kalian...baru ada kuah asam ni.... Umi sayang semua...

Khamis, 11 Jun 2009

KUIH TRADISIONAL... UNTUK MINUM PETANG YANG PERMAI...



ASSALAMUALAIKUM... Melihat ketenangan air terjun (yang sebenarnya jeram kecil) yang mengalir dingin dan tidak putus tentu begitu mendamaikan.. Apatah ketika kita menikmati pelbagai juadah yang menyelerakan dan menguja rasa. Semoga juadah yang biasa dalam kalangan kita ini akan menambahkan ketenangan dan kedamaian itu...

Resepi kali ini, insyaAllah....
1. Kuih ketayap gulung berinti citra

Semoga resepi ini memberikan banyak pilihan untuk kita menyediakan hidangan petang atau pagi, atau hidangan untuk menyambut tetamu yang menguja selera, berkhasiat dan menarik (Mungkin)

1. KUIH KETAYAP GULUNG BERINTI CITRA

Bahan-bahannya...

LEMPENG KETAYAP

600 gram tepung gandum
80 gram tepung jagung

0.8 liter Susu cair (santan cair jika suka) atau gunakan air biasa
2 biji telur
Sedikit garam secukup rasa
sedikit minyak



INTI 1 ( ASLI )
1/2 biji Kelapa parut (putih sahaja)
150 gram gula pasir
Sedikit garam

INTI 2 ( GULA MERAH/GULA MELAKA)
1/2 biji kelapa parut (putih sahaja)
200 gram gula merah (brown sugar)
sedikit garam



INTI 3 (DURIAN)
1/2 biji kelapa parut (putih sahaja)
100 gram gula pasir
4 ulas durian (isi sahaja)
sedikit garam

INTI 4 (SIRAP ROS)
1/2 biji kelapa parut (putih sahaja)
150 gram gula pasir
1 camca kecil sirap ros
sedikit garam


INTI 5 (PERISA NENAS)
1/2 biji kelapa parut (putih sahaja)
200 gram gula pasir
1/4 biji nenas masak (yang diparut)
sedikit garam

INTI 6 (PERISA MANGGA/LAICI)
1/2 biji kelapa parut (putih sahaja)
150 gram gula pasir
sebiji mangga / 1/2 tin laici ( kisar halus dengan sedikit air)
sedikit garam

CARA-CARA MEMBUAT :





  1. PILIH SATU JENIS INTI SAHAJA UNTUK 1 ADUNAN LEMPENG


  2. Semua jenis inti kecuali nenas./mangga/laici.. campur semua bahan dalam kuali, sangai(sangan) atau goreng tanpa minyak .. sehingga gula hancur dan inti agak sebati.


  3. Inti nenas/mangga/laici.... masak nenas/mangga/laici bersama gula..hingga sejat air. Kemudian gaul kelapa hingga sebati (ditambah sedikit garam secukup rasa)


  4. Biarkan sejuk sebelum diletakkan dalam lempeng ketayap


  5. Bancuh bahan lempeng ketayap dan pukul sekejap, sehingga bahan bater sebati...biarkan beberapa minit dan tidak bergentel..


  6. Letak sedikit minyak dalam kuali dan goreng bater, dalam bentuk bulat..( sama ada memusingkan kuali atau membentuk bulat nipis menggunakan senduk yang digunakan)


  7. biarkan sedikit sejuk. Letak inti yang telah disediakan tadi dalam lempeng dan gulung cantik.


  8. Hidangkan
(Untuk memastikan bater sesuai, titiskan bater dari senduk... sekiranya bater turun berpintal dan lancar, bater telah cukup adunannya.)




SELAMAT MENCUBA.....

Sabtu, 16 Mei 2009

AIR LAICI KANG (BICARA RASA)


Bahan-bahan :
1. Air gula
( Gula merah + gula melaka + gula halus + air)
Rebus menjadi air gula
2. Bunga kembang semangkuk direndam 1/2 jam
3. Agar-agar Sotyee direbus sehingga kembang sempurna ( beberapa minit)
4. CADANGAN KANDUNGAN:
- Nata di Coco
- Buah pala hiris
- Assam jeruk kering (ikut kegemaran)
- Kacang goreng
- Sagu biji ( besar dan direbus)
- Cincau
- Buah laici ( Laici dalam tin)
- biji selasih (jika mahu)
- buah kabung yang telah direbus
- Dan apa-apa yang dirasakan sesuai dengan citarasa (???)
Cara-caranya :
1. Campurkan semua bahan dalam mangkuk..
2. Campurkan air gula
3. Jika dihidang panas, tuang sedikit air panas ke dalam mangkuk. hidangan sedia diminum.
4. Jika dihidang sejuk, tanpa tambah air...tambah ketulan ais. Biarkan sejuk dan hidangkan.
(????) Kandungan dalam Laici kang biasanya ditentukan mengikut citarasa individu. Jika meletakkan asam lebih..rasa akan menjadi masam-masam manis. Jika mencampurkan air berlebihan akan menghilangkan kebanyakan rasa. Laici adalah antara bahan utama. Letak banyak akan jadi lemak manis.. Begitu juga dengan kacang goreng. Pilih kacang yang keputihan, rasa sedikit masin, panjang bujur..agak ranggup.. rasa akan menjadi lemak dan cukup sesuai. jika pilih kacang berminyak..air laici tidak menarik..ada rasa minyak. Ikut budi bicara (naluri) sendiri....
BEGITULAH SUSUNANNYA... SEPERTI KITA MENGATUR HIDUP..SEMUA MESTI SEIMBANG DAN ADIL, MAKA KEHIDUPAN KITA AMAT SELESA...
SELAMAT MENCUBA... UNTUK MENYEIMBANGKAN RASANYA TERPULANG KEPADA KEBIJAKSANAAN ANDA... BUATLAH DENGAN KASIH SAYANG...AIR ITU PASTI HEBAT RASANYA.... SELAMAT MENCUBA.


AYAM GORENG CITRARASA

Bahan-bahannya:

1/2 ekor ayam - dipotong beberapa ketul
1 inci halia
3 ulas bawang putih
sesudu kunyit
sesudu rempah kari
garam secukupnya
gula/ madu secukupnya

Cara-caranya :
  1. Potong ayam kepada beberapa bahagian, dicuci bersih.

  2. Gaulkan dengan bawang putih dan halia yang telah ditumbuk berserta madu atau gula. Perap sekurang-kurangnya selama 15 minit.

  3. Gaulkan kunyit, serbuk kari, dan garam secukupnya. Biarkan sekejap.

  4. Goreng sehingga masak ikut kegaringan yang sesuai.
***** Boleh juga disadurkan

  1. Gandum dicampurkan dengan sedikit tepung jagung dan sedikit jintan manis yang ditumbuk.

  2. Celupkan potongan ayam yang sudah digaulkan tadi ke dalam telur.. golekkan kepada tepung.

  3. Goreng secukup masak.

SELAMAT MENCUBA DAN ANDA AKAN MERASAI KELAINANNYA....

Isnin, 11 Mei 2009

TEMPE GORENG BEREMPAH

10 bungkus tempe
1 camca sedang serbuk kunyit
1 camca sedang serbuk kari
1 camca sedang jintan halus > ditumbuk
2 camca besar jintan kasar (manis) > halus
3 ulas bawang putih > bersama
4 camca besar gula / madu
1/2 camca kecil garam

Tambahan :
( Jika inginkan rasa yang lebih lemak dan sedap - campurkan dengan udang kering yang ditumbuk)

Cara-caranya :
  1. Garitkan pada badan tempe menggunakan garfu dan potong menyerong
  2. Basahkan tempe yang berkenaan atau bancuh campuran di atas dengan sebati dengan sedikit air
  3. Gaul merata dan sebati bahan tersebut dan biarkan 5 hingga 10 minit..
  4. Panaskan minyak dan goreng keperang-perangan atau lebih garing
  5. Tempe akan lembut atau seperti lembek... biarkan seketika (sejuk) dan tempe akan garing
  6. Hidangkan dengan menarik

(Ketika menggoreng kemungkinan tempe akan kehitaman kerana terdapat gula dalam ramuan tersebut untuk mencukupkan rasa)

SELAMAT MENCUBA...

MEMENUHI CITARASA DAN PERMINTAAN...

BLOG INI AKU PAPARKAN KHAS BUAT TEMAN-TEMAN YANG INGIN BERKONGSI MAKLUMAT DAN KOLEKSI...YANG SEBENAR DARIPADA AKU BUAT MEREKA...
TERUTAMA UNTUK KAK SARAH JOHARI, KAK MARYUNI MOHAMED, KAK AZIZAH MANSUR... DAN TEMAN-TEMAN YANG SELALU MINTA RESEPI DAN TUNJUK AJAR DARIPADA AKU YANG SEBENARNYA LEBIH DANGKAL DARIPADA MEREKA.... "SAYA SAYANG SEMUA.....MAKA INI MUNGKIN HADIAH BUAT KALIAN, BIARPUN TIDAK SEBERAPA NILAINYA...."